...Sesungguhnya jawatan ini satu amanah Allah yang seharusnya saya pikul dengan rasa penuh tanggung jawab dan jujur...
‘‘Tidaklah boleh selandak padi,
Sekamlah juga ditumbuk luluh,
Tidaklah ikut kehendak hati,
Kehendak Allah jugalah sungguh.
Negeri kita aman sentosa,
Kaya dengan tumbuh-tumbuhan,
Niat di hati nak buat jasa,
Mudah-mudahan Tuhan kabulkan.
Dalam pinang tumbuh kelapa,
Terbit putik bunga melati,
Budi Pak Lah saya tak lupa,
Sudah terpaku di dalam hati.
Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut tersebut,
Budi Pak Lah tetap dijunjung.
Jika salah ibu dodoikan,
Tangis anak di atas pangkuan,
Salah dan silap saya lakukan,
Maaf Pak Lah saya pohonkan.
Bait puisi yang dilafazkan dalam Ucapan Penggulungan Timbalan Presiden UMNO 2009.
"...Saya ingin mengajak semua ahli Majlis Kerja Tertinggi dan juga para perwakilan serta seluruh ahli UMNO di seluruh negara untuk berikrar berdiri teguh bersama-sama nakhoda parti kita yang baru untuk meneruskan perjuangan parti dan agenda besar kita untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden parti kita yang baru haruslah dibantu dengan penuh keikhlasan dan seluruh kudrat yang ada pada kita haruslah digemblengkan untuk melaksanakan agenda perubahan yang sangat-sangat diperlukan oleh parti untuk bangkit semula di persada politik negara sebagai parti yang paling unggul di negara kita.
Kita haruslah melaksanakan amanah ini dengan jujur dan penuh iltizam untuk mentransformasikan UMNO. Tentunya keutamaan kita untuk membawa perubahan-perubahan yang diperlukan oleh UMNO dan diperlukan oleh rakyat jelata.
Landskap politik negara sudah berubah. Selepas pilihan raya umum yang baru lalu kita telah pun melihat akan jelas dan nyata keputusan yang telah dibuat oleh rakyat terutamanya oleh generasi muda kita.
Ini harus menjadi iktibar dan pengajaran bagi kita. Maka sebab itulah saya percaya penting untuk kita kita memastikan beberapa perkara-perkara pokok yang harus kita berikan perhatian.
Seperti soal untuk menyegerakan proses pemulihan dan penambahbaikan dan pembaharuan atau pun transformasi yang harus dilakukan di dalam UMNO kita.
Usaha yang harus kita buat dan laksanakan secara cepat dan segera bagi memperkukuhkan usaha-usaha komponen-komponen parti BN pastinya penting untuk memastikan sokongan rakyat jelata dari segenap peringkat dan kaum di dalam negara ini akan terus kukuh.
Demikian juga dalam soal-soal yang lain, isu yang kita sedari hari ini yang pastinya tidak boleh kita abaikan iaitu soal yang yang berkaitan dengan langkah-langkah yang sedang dan akan terus dilaksanakan oleh kepimpinan parti dan kerajaan kita iaitu untuk memastikan dalam situasi ekonomi global yang cukup hebat pada hari ini.
Usaha-usaha untuk sama-sama kita laksanakan di semua peringkat bukan saja di dalam kerajaan atau pun di kalangan rakyat jelata khususnya di kalangan ahli UMNO ialah untuk membantu supaya usaha-usaha memulihkan ekonomi dalam negara kita dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin...."
Nama : Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin
Gelaran: Y.B. Tan Sri Dato'
Jawatan : Timbalan Perdana Menteri Malaysia/Menteri Pelajaran
Kawasan : Ahli Parlimen Pagoh
-------------------------------------------------------------
Biodata Peribadi
Biodata Peribadi
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dilahirkan pada 15 Mei 1947 di Muar. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Maharani dan Sekolah Kebangsaan Ismail di Muar. Kemudiannya beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pengajian Melayu (1971).
Kerjaya
Beliau memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (1970) dan kemudiannya Penolong Pegawai Daerah Muar (1974). Pengalaman sebagai penjawat awam digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk berkecimpung dalam dunia korporat. Antara tahun 1974 hingga tahun 1978, Y.B. Tan Sri Dato' telah memegang beberapa jawatan penting di SGS Ates Sdn. Bhd. sebagai Pengurus Perjawatan, Pengarah Urusan Sri Saujana Berhad serta Pengarah Syarikat Equity Mal Sdn Bhd.
Y.B. Tan Sri Dato' kini mengetuai UMNO Bahagian Pagoh iaitu jawatan yang beliau pegang sejak April 1985 lagi. Sebelum itu beliau telah dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh pada tahun 1976. Dari situ karier politiknya terus berkembang apabila beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia (1982). Pada tahun 1985, buat pertama kalinya, Y.B. Tan Sri Dato' Muhyiddin dipilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Jawatan ini digunakan sepenuhnya untuk menabur bakti dan kemudiannya menjadi tokoh yang dipilih menduduki kerusi Naib Presiden bermula September 1993 sehinggalah ke hari ini.
Y.B. Tan Sri Dato' pertama kalinya dipilih menjadi wakil rakyat apabila beliau memenangi kawasan Parlimen Pagoh pada pilihan raya tahun 1978. Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi parlimen berkenaan pada pilihan raya umum pada tahun 1982 telah dilantik menjadi Menteri Besar Johor selepas Pilihan Raya Umum ke-7 apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Serampang. Di bawah kepimpinan beliau, negeri Johor terus berkembang pesat dan menjadi antara negeri yang termaju di Malaysia.
Y.B. Tan Sri Dato' juga pernah dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri pada tahun 1981, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pada tahun 1982 dan Menteri Belia dan Sukan selepas Pilihan Raya Umum ke-9 iaitu pada Mei 1995. Empat tahun kemudian, beliau dilantik menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mulai bulan Disember 1999. Pada bulan Januari 2004, beliau diberi kepercayaan mengetuai Kementerian Pertanian berikutan penstrukturan semula Kabinet Persekutuan.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-11, beliau dilantik semula menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang fungsinya ditambah bagi memajukan sektor pertanian dan industri yang berkaitan agar lebih berdaya saing. Oleh itu, beliau bertekad untuk membalas kepercayaan Y.A.B. Perdana Menteri dengan meletakkan sektor pertanian di tahap yang sepatutnya dengan menumpukan usaha menjadikannya satu sektor yang moden, dinamik, dan mampu membawa perolehan yang besar kepada negara. Di samping itu, beliau terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk Pagoh agar rakyat hidup selesa dan bebas dari kemiskinan melalui program pembangunan pertanian yang dijalankan di situ. Selepas Pilihan Raya ke-12, beliau dilantik menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Pemilihan UMNO 2009 menyaksikan sokongan dan kepercayaan perwakilan UMNO kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai gandingan Perdana Menteri YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Jawatan Timbalan Perdana Menteri secara rasmi dipaut pada bahu beliau dengan undi sebanyak
1,575 undi berbanding 997 kepada Tan Sri Muhammad Mohd Taib.
Menyorot liku-liku kebangkitannya hingga memenangi jawatan Timbalan Presiden, Muhyiddin berasakan dirinya sudah dimaafkan daripada kelantangannya menggerakkan perubahan dalam kepemimpinan dan parti.
Tindakan beliau sebenarnya dilihat dari dua sudut pandangan iaitu sebagai pendesak utama untuk mempercepatkan peralihan kepemimpinan dan perlunya kepada seseorang yang lantang untuk perubahan berlaku.
Beliau berbuat demikian bukan atas kepentingan peribadi tapi atas rasa bertanggungjawab kepada parti dan ini turut dicerminkan oleh kebangkitan suara perwakilan yang mengetengahkan muka-muka baru dalam MT yang diketahui berpendirian sepertimana beliau.
Aktiviti Kemasyarakatan
Y.B. Tan Sri juga banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau pernah dilantik menjadi Yang DiPertua Royal Johor Country Club dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (1986-1995) serta Presiden Persatuan Kanak-Kanak Spastik negeri Johor selama 10 tahun (1986-1996). Y.B. Tan Sri Dato' Muhyiddin telah mendirikan rumahtangga pada 1972. Hasil daripada perkongsian hidup beliau bersama Puan Sri Hajjah Norainee Abd. Rahman, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata. Pada masa lapang, YB Tan Sri Dato' gemar bermain golf dan badminton.
Anugerah
2007-Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP), Dato Seri
1991-Seri Paduka Mahkota Johor (SMPJ), Dato'
1988- Panglima Setia Mahkota (PSM), tAN Sri
1980-Setia Mahkota Johor (SMJ)
1879-Bintang Sultan Ismail (BSI)
1974-Pingat Ibrahim Sultan (PIS)